Assalamualaikum.
Hye. Jom layan cerpen.
------------------------------------------------------------------------------------------
“INGAT pesan mak, Izah. Apa-apa pun yang jadi, jangan sesekali biarkan abah seorang diri. Ingat pesan mak ni, Izah.”
Izah membuka mata. Dia meneguk liur perlahan dan bangun dari pembaringan. Dia mengusap perlahan pipi, masih terasa-rasa sentuhan tangan kasar milik mak walaupun dia hanya bermimpi sebentar tadi. Namun bayangan mak yang bertelekung putih, serasa di depan mata, seperti masih ada di sisi walaupun mak sudah tiada hampir tiga tahun yang lalu.
Izah mengeluh perlahan, dia yakin dia terlalu rindukan mak sehingga termimpi-mimpikan wanita tua itu. Namun, setiap satu pesanan mak dalam mimpi, dihadamnya dalam-dalam.
Jam di atas meja katil dikerling. Sudah jam 6.15 pagi. Azan sudah lama berkumandang. Sekali lagi Izah menghela nafas dan kemudian dia bangun dari katil berjalan keluar dari bilik. Langkah kakinya terhenti di hadapan bilik sebelah. Pintu yang tidak berkunci dikuaknya perlahan. Terlihat satu tubuh terbaring di dalam kelambu kusam. Hanya mentol kuning malap yang menemani.
“Abah..”
Izah menghampiri katil. Kelambu yang menutupi keseluruhan katil kayu diselak ke atas. Tubuh tua itu tidak bergerak.
“Abah, dah subuh,” panggil Izah lagi dengan sedikit sentuhan di bahu abah.
Abah bergerak sedikit dan membuka mata. “Sudah subuh?”
“Dah, bah. Jam dah 6.15. Abah duduk dulu. Izah nak pergi cuci muka sekejap. Nanti Izah datang.”
Abah hanya mengangguk. Izah membantu abah untuk duduk bersandar di katil. Kemudian Izah melangkah keluar dari bilik dan terus menuruni tangga ke dapur. Tangannya bingkas menekan suis lampu di dinding berhampiran pintu keluar rumah. Cahaya menerangi ruang. Izah terus ke bilik air. Lima minit berlalu, Izah melangkah semula ke dalam bilik abah. Abah menanti dengan senyuman.
“Abah nak bangun sekarang tak?”
Abah mengangguk. “Pegang tangan abah. Abah nak bangun.”
Izah memegang bahu abah ketika abah memaut tangannya untuk bangun dari katil. Dengan perlahan-lahan, Izah memimpin abah untuk turun ke dapur dan terus menemani abah ke bilik air untuk membuang air kecil dan terus mengambil wuduk.
Setelah Izah memastikan abah selesa duduk di atas sejadah untuk solat dalam keadaan duduk, giliran Izah pula untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada Tuhan. Usai solat, dia kembali membantu abah untuk duduk di katil.
“Izah nak buat sarapan. Abah nak makan apa?”
Abah diam seketika. “Buatkan lempeng macam yang mak buat tu. Izah pandai buat kan?”
Izah mengangguk. “Nanti Izah buatkan. Abah rehat dulu ya. Nanti dah siap, kita makan sama-sama.”
Izah keluar dari bilik abah. Sebelum turun ke dapur, dia membuka tingkap-tingkap di bahagian ruang tamu. Nafasnya dihela panjang dengan kesegaran pagi. Sejuk dan menenangkan. Kemudian dia menuruni tangga dan tangannya laju mengambil bekas berisi tepung gandum dan diletakkan di atas meja.
Lempeng kesukaan abah.
Tak sukar, hanya tepung gandum, garam, gula dan sedikit air. Sama seperti lempeng-lempeng yang lain. Tapi yang bezanya, lempeng kesukaan abah adalah dari hasil tangan mak. Tapi Izah menarik nafas lega apabila abah tetap juga menyukai lempeng buatannya.
Selesai mengadun tepung, Izah mula memasak lempeng. Seperti mak, Izah tidak suka membuat lempeng yang besar-besar. Dia lebih gemarkan lempeng yang kecil saja diameternya. Dan abah pun suka.
Lempeng yang sudah siap terus Izah letak di dalam pinggan. Gula dan susu pekat manis diletakkan di dalam piring yang berbeza. Dia sukakan lempeng cicah gula. Abah pula sukakan lempeng cicah susu. Kopi pekat yang dibancuh sementara menunggu lempeng masak, dihidangkan sekali di dalam dulang.
Izah mengangkat dulang yang berisi lempeng dan air beserta gula dan susu lalu terus menuju ke ruang tamu di rumah bahagian atas. Dulang itu diletakkan di atas meja. Kemudian dia melangkah ke bilik abah.
“Abah, jom makan. Dah siap dah.”
Abah cuba bangun namun tenaganya tidak cukup kuat. Izah yang berada di sebelah laju memaut tangan abah. Dia memimpin abah untuk ke ruang tamu dan mereka makan bersama. Berdua.
Itulah rutin hidup Izah setiap hari. Sejak lima bulan yang lepas.
---
IZAH merupakan graduan dari IPTA dalam jurusan kejuruteraan. Mak meninggal ketika dia masih di tahun dua di universiti. Namun atas semangat yang diberikan abah, Izah gigih juga menamatkan pelajaran. Ketika Izah sedang sibuk untuk menyiapkan projek tahun akhirnya, sekali lagi dia diuji.
Pada mulanya, abah hanya demam-demam biasa. Abah tidak lalu makan, tidak larat berjalan dan badan abah menyusut. Izah membawa abah ke klinik untuk diperiksa doktor. Hampir beberapa minggu dia dan abah berulang alik ke klinik dan hospital, melakukan pemeriksaan dengan doktor, sehinggalah satu hari dia dipanggil oleh pihak hospital.
“Cik Izah, berdasarkan analisis darah dan air kencing bapa awak yang baru saya terima dari makmal pagi tadi, kami dapati bapa awak menghidap kanser hati.”
Izah tergamam. Keningnya berkerut. “Kanser hati, doktor?” Doktor Mazlan mengangguk perlahan. “Teruk ke doktor?”
Doktor Mazlan menunduk sedikit. “Maafkan saya, cik. Ayah cik sudah pun final stage. I’m afraid there’s nothing that we could do. Saya harap cik dapat bersabar. Doa banyak-banyak untuk ayah awak.”
Izah pandang lelaki berkaca mata di hadapannya tak berkelip. “Kanser hati, dan terus final stage? Tapi selama ni kalau abah demam, sakit apa sekali pun, kenapa tak dikesan penyakit ni doktor?”
“Begini Cik Izah. Selalunya tiada simptom-simptom yang dapat kita kesan untuk penghidap kanser hati ni. Jika ada pun, bila penyakit tu dah dapat dikesan, pesakit sudah pun berada ditahap terakhir. Dan kita kena berusaha sedaya upayalah untuk membantu pesakit.”
“Tapi tadi doktor kata dah tak ada apa yang boleh kita buat kan? Masih ada harapan ke doktor?” Izah pandang doktor muda di depannya penuh mengharap. Doktor Mazlan menunduk seketika dan kembali mengangkat muka.
“Theoritically, we don’t have enough time.”
“Maksud doktor?”
“Ayah cik sudah pun berusia 64 tahun kan? Untuk melakukan pembedahan pemindahan hati, faktor usia adalah penting. Pihak kami tak dapat nak beri jaminan apa-apa jika ada perkara lain yang berlaku semasa pembedahan sedang dijalankan.”
Izah sekali lagi terdiam. Ya, abah sudah 64 tahun. Sudah terlalu tua untuk melakukan pembedahan pemindahan hati.
“Apa yang saya boleh buat sekarang ni doktor?”
“Macam yang saya cakap, serahkan segalanya pada Allah. Dia dah tetapkan jalan untuk setiap hamba-Nya. Buat masa sekarang, awak beritahulah pada adik beradik awak. Kami dari pihak hospital hanya dapat membantu memberi pendapat dan rawatan yang terdaya.”
“Doktor,” panggil Izah setelah terdiam lama. Doktor Mazlan mengangkat kening melihat gadis di hadapannya. “Berapa lama lagi masa yang abah ada?”
“Ajal maut semua tu di tangan Tuhan. Mungkin apa yang saya kata salah. Tapi tak salah kalau kita bersedia bukan? Dan saya tak berniat nak risaukan awak. Cuma selalunya, pesakit kanser hati tak punya banyak masa selepas kita berjaya kesan kanser tu. Tapi Tuhan tu maha berkuasa kan? Siapa tahu Tuhan nak bagi peluang pada awak untuk berjasa pada bapa awak, kan?”
Izah mengangguk lemah. Abah, ada kanser hati?
Nak tahu sambungannya.. DI SINI.
Sekian~
sedih ;(
ReplyDeletekan... :) kawan saye. dia author buku HEROIN terbitan LejenPress.
ReplyDeleteiye..so sad.:(
ReplyDelete